Berita Semasa

Serantau Muslim gerakkan sukarelawan ke Lebanon bantu pelarian Syria

SEPANG – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Serantau Muslim akan berlepas ke Lebanon hari ini bagi melaksanakan misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria sehingga 27 Januari ini.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd Nor berkata, misi kali ini disertai 12 orang sukarelawan termasuk pendakwah selebriti, Ustaz Yaakub Yusra dan Ustaz Tido atau nama sebenar, Khailil Razak.

“Pada misi kali ini juga, Serantau Muslim akan meneruskan agihan bantuan set pemanas, pakaian, makanan, tilam dan selimut kepada yang masih memerlukan.

“Ketika pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu, Serantau Muslim telah menghantar amanah para penyumbangnya ke sana bagi memenuhi sebahagian keperluan mereka melalui rakan mereka,” kata Mohd. Hakim.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan Misi Kemanusiaan Bantuan Musim Sejuk Untukmu Syria, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Yang turut hadir, Ikon Pelaburan Saham, Datuk Mohd Asri Ahmad dan tokoh pempengaruh kebajikan, Cikgu Fadli Salleh

Bantuan Musim Sejuk untukmu Syria Serantau Muslim menyasarkan sumbangan sebanyak RM1.5 juta di mana kutipan terkini adalah RM300,000.

Serantau Muslim yang sudah lapan tahun ditubuhkan telah menjalankan banyak aktiviti untuk kemanusiaan di sekitar ASEAN, Syria, Palestin dan Lebanon.

Show More

Related Articles

Back to top button