Berita Semasa

Buli siber: PM zahir rasa tidak puas hati, arahkan tindakan tegas

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa tidak puas hati berhubung kejadian buli siber yang membimbangkan baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, susulan itu Anwar telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap pembuli siber yang terlibat.

“Dalam mesyuarat Kabinet, Anwar menyatakan rasa cukup tidak puas hati terhadap kejadian buli siber dan beliau telah meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang sangat tegas serta perlu berusaha untuk menghentikan jenayah itu daripada berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet yang diadakan di bangunan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan satu pertemuan dengan pihak pengendali Tik Tok pada minggu hadapan untuk membincangkan berkaitan isu buli siber.

“Sebelum sidang media ini, saya telah berhubung dengan pihak TikTok dan telah maklumkan bahawa mereka perlu bertanggungjawab. Mereka bersedia untuk memberikan kerjasama erat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata pihaknya akan meneliti keperluan sama ada untuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta khusus berkaitan buli siber.

“Kita belum sampai ke tahap akan membawa rang undang-undang (RUU) ke Parlimen tetapi saya dimaklumkan oleh Bahagian Dasar Kementerian Komunikasi bahawa terdapat kaji selidik ini,” jelasnya.

Katanya, usaha itu merupakan antara beberapa langkah menangani buli siber yang telah dikemukan kepada jemaah menteri dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Langkah tersebut termasuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada, meneliti keperluan untuk menggubal akta baharu serta usaha melancarkan pengurusan antara MCMC dan PDRM berhubung laporan jenayah.

“Kadangkala pengadu pergi ke balai polis buat laporan, kemudian mereka diminta buat laporan di MCMC. MCMC pula minta mereka buat laporan polis dan perkara itu berulang.

“Masalah ini telah dikenal pasti dan MCMC serta PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah telah bersetuju untuk meneliti bagi memudahkan proses laporan dibuat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Rajeswary Appahu atau Esha meninggal dunia akibat buli siber pada 4 Julai lalu.

Kematian Esha berlaku sehari selepas beliau membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button