FIFA gugurkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia U-20 2023
JAKARTA – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengugurkan Indonesia sebagai tuan rumah bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun (U-20) 2023 selepas beberapa ahli politik negara itu membantah penyertaan pasukan Israel.
Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara presiden FIFA Gianni Infantino dan presiden Persekutuan Bola Sepak Indonesia, Erick Thohir di Doha.
“Berdasarkan keadaan semasa, FIFA memutuskan untuk mengeluarkan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20 FIFA 2023,” kata FIFA, sambil menambah tindakan tatatertib terhadap PSSI mungkin diputuskan tidak lama lagi.
Persekutuan itu dalam kenyataan di laman sesawangnya menyebut bahawa tuan rumah baharu akan dipilih dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Bagaimanapun, tarikh kejohanan sedia ada tidak berubah.
Di sebalik keputusan itu, FIFA akan membantu PSSI dan kerajaan Indonesia dalam proses transformasi bola sepak mereka berikutan tragedi rempuhan Stadium Kanjuruhan di Malang, Jawa Timur tahun lepas yang mengorbankan 135 orang.
“Ahli pasukan FIFA akan terus berada di Indonesia dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada PSSI,” katanya.
Pada Selasa, Presiden Indonesia Joko Widodo dilaporkan berkata, negara itu telah menghantar Erick untuk bertemu pegawai FIFA untuk mencari penyelesaian terhadap isu itu.
Joko Widodo memberi jaminan kepada rakyat Indonesia bahawa penyertaan Israel dalam kejohanan itu sama sekali tidak menjejaskan sokongan negara terhadap perjuangan Palestin.
Untuk rekod, Indonesia dipilih sebagai tuan rumah pada 2019 untuk edisi 2023, dengan penyertaan Israel hanya diketahui pada Julai 2022.