Bekalan ayam dan telur kembali pulih bulan ini
PUTRAJAYA – Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) memberi jaminan bekalan ayam dan telur akan kembali pulih dalam pasaran tempatan bermula bulan ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dalam satu kenyataan berkata, jaminan itu disampaikan FLFAM kepada MAFS dalam satu pertemuan kelmarin.
Pertemuan itu melibatkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dengan Presiden FLFAM, Tan Chee Hee di sini.
MAFS berkata, bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan, kementerian itu akan terus komited mengadakan libat urus bersama pemain industri.
Menurut MAFS, beberapa isu lain yang turut dibangkitkan FLFAM telah dibincangkan bersama adalah seperti harga kawalan dalam tempoh yang panjang menyebabkan penternak berhadapan kerugian kerana kos pengeluaran terus meningkat.
“Selain itu, mengenai keperluan meningkatkan produktiviti melalui penternakan secara sistem tertutup dan isu aliran tunai di kalangan penternak.
“Perkara lain turut dibangkitkan adalah jangkaan bekalan ayam dan telur serta kos pengeluaran.
“Mereka juga telah menyatakan komitmen dan jaminan ini dalam siaran media FLFAM semalam,” katanya.