Berita Semasa

Lindungi pengguna dari ancaman kartel, Akta Persaingan 2010 akan dipinda

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus melindungi pengguna daripada ancaman kartel dan monopoli oleh sesetengah pihak dengan memperkasakan agenda persaingan dan pasaran supaya ia berada dalam keadaan sihat dan adil.

Beliau berkata, justeru kerajaan akan mengukuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melalui pindaan Akta Persaingan 2010.

“Supaya isu kos sara hidup ditangani dengan menggunakan polisi dan perundangan persaingan dalam memastikan pasaran serta industri yang sihat dan adil bagi melindungi kepentingan pengguna dari ancaman kartel dan monopoli.

“Justeru, agenda memperkasakan agenda persaingan dan pasaran sihat dan adil turut diberi perhatian termasuklah pengukuhan MyCC melalui pindaan Akta Persaingan 2010 dalam sesi Parlimen hendaklah disegerakan di sekitar pertengahan tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga bersetuju supaya dasar kawalan harga dan subsidi ayam diteruskan sementara satu dasar berkaitan mekanisme bersasar dimuktamadkan.

Beliau berkata, antaranya dengan meneliti mekanisme harga dua peringkat yang melibatkan hanya 1.6 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak sawit mentah bagi kemasan botol dan 8.4 peratus keluaran untuk kemasan berpaket manakala 90 peratus pengeluaran minyak sawit mentah adalah bagi tujuan export.

Selain itu, katanya, tindakan penguatkuasaan juga akan dilakukan oleh Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Ops ATM (ayam, telur dan minyak masak) dan Ops Anti Sorok.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 814,718 pemeriksaan premis serta 31,009 penyamaran telah dilaksanakan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan memperbanyakkan program Jualan Terus dari Ladang oleh FAMA.

“Dijangka sebanyak 10,000 kali jualan di 1,793 premis jualan di seluruh negara. Harga yang akan ditawarkan juga dijangka lebih rendah daripada harga pasaran.

“Koordinasi rentas agensi perlu dilaksanakan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan harga dua peringkat agar sebarang keputusan tidak memberi implikasi yang besar kepada pihak terlibat samada di peringkat industri mahupun pengguna,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button