Apa sudah jadi pada kamu Mat Hasan? – KJ
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat satu komplot dalam meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan.
Khairy menerusi satu video yang dimuat naik di Tiktoknya berkata, beberapa tanda di kerusi Dewan Merdeka yang telah dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut bagi memberi ruang kepada perwakilan import.
“Petang ini akan ada undi untuk usul tambahan ini dan saya difahamkan ia akan di’bulldoze’ (dilanggar).
“Malah, beberapa ‘tag’ (tanda) di kerusi di Dewan Merdeka yang dikhaskan untuk perwakilan bahagian telah dicabut dan ditanggal supaya perwakilan import boleh dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya ia tidak dipertandingkan,” katanya.
Semalam, berlaku kekecohan di Dewan Merdeka selepas perwakilan Negeri Sembilan mencadangkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau berasa pelik kerana usul tersebut disampaikan oleh wakil Rembau, Mohd Shukri Samsudin, memandangkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua Bahagian UMNO Rembau.
“Orang Rembau ini kenal lah siapa Shukri Samsudin ini, dan saya nampak agak pelik lah yang (UMNO) Rembau bawa usul ini.
“Kalau nak bawa usul penambahan pun, lindunglah sikit. What happen to you (Apa sudah jadi pada kamu) Mat Hasan (Mohamad)?” soalnya.
“Saya janji bahawa pemilihan tidak akan membawa kepada perpecahan. Siapa yang menang dapat mandat daripada parti. Siapa yang menang, kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.
“Kita dah tinggal 26 kerusi Parlimen UMNO. Ini prestasi yang terburuk dalam sejarah parti kita.
“Jadi sangat penting perwakilan dalam UMNO jangan melakukan ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk bunuh demokrasi, menidakkan suara perwakilan di akar umbi menentukan masa depan UMNO dan memilih siapa yang boleh dan layak menerajui parti kita dan membangkitkan semula parti keramat UMNO,” katanya lagi.
Hari ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique, menolak usul tambahan yang dikemukakan perwakilan semalam supaya jawatan itu tidak dipertandingkan.
Katanya, UMNO perlu menyedari sentimen terhadap isu ini boleh mempengaruhi sentimen sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.
Selain itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, menegaskan usul tambahan dikemukakan semalam itu bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.