Politik

Amirudin dan isteri hadir ke pusat undi menunggang motosikal

SELAYANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir membuang undi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) Selayang Baru di sini hari ini.

Beliau tiba di pusat mengundi kira-kira 8.30 pagi ini bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dengan menunggang motosikal untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor dan isteri kemudian membuang undi di saluran 5 dan sempat meluangkan masa beramah mesra dengan pengundi DUN N.15 Taman Templer.

Amirudin ketika ditemui media berkata, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) Selangor optimis akan membentuk kerajaan sekiranya peratusan mengundi mencapai 70 hingga 80 peratus.

Beliau juga menyeru orang ramai supaya segera keluar menunaikan tanggungjawab mengundi ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu, hari ini.

“Saya menyerahkan kepercayaan dan mandat kepada rakyat bagi menentukan pentadbiran seterusnya

“Hari ini adalah hari yang menentukan masa depan negeri dan kami berharap dapat kekal dengan majoriti dua pertiga,” katanya yang meninggalkan pusat mengundi pada pukul 8.45 pagi.

DUN N15 Taman Templer menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Zaidy Abdul Talib, Aida Nazeera Abd Rahman dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Anfaal Saari (PH).

Amirudin semalam yakin gabungan politik PH-BN mampu menang sekurang-kurangnya di 33 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung 12 Ogos ini.

Beliau yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua ditentang dua calon masing-masing PN dan Bebas dalam pertembungan tiga penjuru hari ini.

Amirudin yang juga Naib Presiden PKR itu menang dengan majoriti 11,374 di DUN Sungai Tua selepas menewaskan tiga calon lain dari BN, Pas dan Bebas dalam PRU sebelum ini.

Show More

Related Articles

Back to top button