Berita Semasa

Lesen jurulatih tampar murid dibatalkan

PUTRAJAYA – Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) membatalkan lesen kejurulatihan seorang jurulatih bola tampar yang terbabit dalam kontroversi menampar dua pemain kanak-kanak wanita di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Keputusan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu sidang media bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sini hari ini.

“KBS dan KPM berpendirian senada selepas MAVA membatalkan lesen jurulatih itu melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya.

“Justeru sebagai langkah awal, jurulatih sukan tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk menjadi jurulatih untuk murid sekolah,” kata Hannah Yeoh di Ibu Pejabat Kementeriannya hari ini.

Hannah berkata, KBS bersama KPM tidak akan sesekali berkompromi khususnya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet khususnya melibatkan atlet kanak-kanak yang boleh memudaratkan pembangunan bakat masa depan negara.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara dan MAVA, kedua-duanya telah memuktamadkan siasatan mereka, yang mana secara sebulat suara memutuskan bahawa jurulatih bola tampar itu sepatutnya hilang kelayakannya daripada menjadi seorang jurulatih.

Tambahnya, insiden itu telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah, untuk menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK).

“KBS sendiri telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan Institut Sukan Negara memastikan perlaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi oleh mereka sebagai pengiktirafan SPKK setiap dua tahun sekali,” katanya.

Ditanya kemungkinan guru berkenaan dikenakan tindakan mengikut undang-undang jenayah, Hannah berkata, KBS menyerahkan tindakan itu kepada Jabatan Pendidikan Negeri.

Sementara itu, Fadhlina berkata, siasatan KPM berkaitan insiden tersebut telah selesai dan telah dilakukan secara menyeluruh melibatkan semua pihak yang berkaitan, termasuk jurulatih, murid, rakan sepasukan guru, pengurus pasukan, saksi kejadian serta ibu bapa pemain.

“KPM juga telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan tersebut daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan.

“KPM amat prihatin serta cakna akan aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button