Politik

Hajiji sudah hilang sokongan majoriti – Peter Anthony

KOTA KINABALU – Kesemua 3 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) termasuk Presidennya, Datuk Peter Anthony percaya bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah.

Peter yang juga ADUN Melalap bersama ADUN Limbahau, Juil Nuatim dan ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda menyatakan perkara itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam.

“Kami percaya bahawa ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sudah tidak lagi mempunyai majoriti yang cukup sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Merujuk kepada Perkara 6(3) dibaca dengan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-16 tahun 2020.

“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” kata kenyataan bersama itu.

Sehubungan itu, KDM Sabah menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Sabah.

Semalam BN Sabah mengumumkan untuk menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu diambil susulan tindakan Hajiji yang melanggar perjanjian persefahaman politik antara BN Sabah dalam pembentukan kerajaan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button