Kalah perebutan Ketua Wanita Bagan Datuk, anak Zahid mahu lapor ke lembaga pemilihan
KUALA LUMPUR – Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang tewas dalam saingan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk semalam mendakwa wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan itu berlangsung.
Anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu mendakwa pelanggaran itu membabitkan Perkara 4, Tataetika Pemilihan UMNO 2023, berkaitan pengaruh tidak wajar.
“Pelanggaran Tataetika Pemilihan UMNO Perkara 4 – Pengaruh Tidak Wajar.
“Whatsapp pada malam pemilihan 10/3 daripada seorang yang telah dikenalpasti. Manipulasi, tipu helah, mendorong dan mengganggu.
“Perjuangan saya belum lagi tamat. Saya tidak kalah cuma belum lagi menang. Undi saya 115/268 dan yang ‘masih menang’ 133/268” katanya dalam satu hantaran dalam Facebooknya hari ini.
Dalam hantaran itu beliau turut memuatnaik tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp itu daripada individu yang menggelarkan mereka sebagai ‘orang penting’ di bahagian tersebut.
Sehubungan itu, Nurulhidayah berkata, beliau akan membawa isu tersebut ke Lembaga Pemilihan UMNO.