Ahmad Zahid sedia dicabar untuk jawatan Presiden UMNO
PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan kesediaanya untuk dicabar kedudukanya selaku Presiden parti sekiranya jawatan itu dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata, sebelum ini beliau sudahpun dicabar, namun undian tetap memihak kepadanya.
“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Campur undi dua-dua orang itu pun masih belum sama dengan undi saya.
“Bukan riak, bukan sombong, bukan takbur dan bukan ujub. Kombinasi dua-dua undi itu sangat kurang daripada yang saya perolehi,” katanya pada sidang media Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini, hari ini.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga menegaskan, kedudukan kepemimpinan UMNO sedia ada akan ditentukan oleh hampir 160,000 perwakilan parti itu di seluruh negara.
Katanya, mereka yang akan menentukan sama ada kepemimpinan sedia ada akan berubah atau kekal.
“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.
“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan sedia ada atau pun kepimpinan yang berubah, untuk kita pastikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik negara.
“Maka kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” katanya lagi.