Berita Semasa

Kes denggi naik 150.7 peratus

CYBERJAYA – Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 150.7 peratus berbanding 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada tahun lepas, sebanyak 66,102 kes dilaporkan di seluruh negara, peningkatan sebanyak 39,737 kes berbanding 26,365 pada tahun sebelumnya.

Beliau menambah, jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi yang dilaporkan pada 2022 pula ialah 56 berbanding 20 bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 36 kematian atau 180 peratus.

“Peningkatan kes dan kematian akibat denggi ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Membanteras denggi adalah tanggungjawab semua,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan pencegahan amat diperlukan bagi memastikan kejadian demam denggi dapat diatasi dan semburan racun serangga tidak akan menyelesaikan masalah jika tempat pembiakan nyamuk Aedes tidak dihapuskan.

Dr Noor Hisham menjelaskan, faktor yang menyebabkan peningkatan kes ialah pergerakan manusia apabila semua sektor dibuka sepenuhnya setelah pandemik Covid-19 menjadikan lebih mudah menyebarkan virus denggi ke tempat lain.

Katanya pesakit denggi tidak bergejala yang melawat ke tempat baharu boleh menyebarkan virus itu apabila digigit nyamuk Aedes.

Antara faktor lain adalah berlaku perubahan serotaip denggi kepada DEN 4 di kebanyakan negeri menyebabkan peningkatan kes dan kematian serta tabiat segelintir masyarakat yang tidak membuang sampah di tempat pelupusan disediakan turut menyumbang kepada tempat pembiakan Aedes.

Bagi menurunkan kejadian kes dan wabak denggi, Dr Noor Hisham menyarankan negeri yang dilanda banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak supaya melaksanakan aktiviti pembersihan longgokan sampah serta sisa seminggu selepas air surut untuk mengelak daripada ia menjadi tempat pembiakan Aedes.

Show More

Related Articles

Back to top button