Jumlah mangsa banjir di Selangor, Kedah, Perak meningkat
PUTRAJAYA – Jumlah mangsa banjir di Selangor, Kedah dan Perak menunjukkan sedikit peningkatan pada pagi ini berbanding malam tadi dengan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di ketiga-tiga negeri tersebut.
Di Selangor, jumlah mangsa di tiga PPS di Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor meningkat kepada 1,195 individu daripada 286 keluarga berbanding 1,178 orang malam tadi.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS yang terlibat termasuk Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan Masyarakat Kampung Gombak, Kuang, Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Bunga Matahari dan SK Ijok.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata, PPS terbaharu ialah Dewan Batu 48, menjadikan keseluruhan lapan PPS kini beroperasi di daerah itu, termasuk SK Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B.
“Jumlah mangsa banjir Kedah kini meningkat kepada 248 orang daripada 80 keluarga setakat pukul 8 pagi dengan sebuah PPS baharu dibuka di Baling bagi menampung sebahagian mangsa yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan, walaupun tiada sungai di Kedah yang berada pada paras bahaya, beberapa sungai di negeri tersebut telah melepasi paras amaran.
Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 121 orang daripada 36 keluarga, berbanding 106 orang daripada 30 keluarga malam tadi. Mangsa-mangsa tersebut ditempatkan di tiga PPS di daerah Taiping dan Kerian, termasuk sebuah PPS baharu di SK Matang, Taiping.
Keadaan cuaca yang tidak menentu terus mempengaruhi jumlah mangsa banjir, dengan agensi-agensi berkaitan terus memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang terjejas.