Perdana Menteri ulangi langkah penjimatan sektor awam
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian supaya mengambil langkah penjimatan termasuk menghentikan penganjuran acara berskala besar dan perbelanjaan tidak penting.
Beliau berkata, setiap jabatan dan agensi perlu lebih bertanggungjawab untuk mengurangkan perbelanjaan supaya penjimatan wang kerajaan dapat disalurkan untuk tujuan lebih bermanfaat.
“Hentikan segara penganjuran acara yang meriah dan megah. Setiap dana perlu digunakan sebaiknya.
“Setiap kali ada sambutan dan perayaan, ada sahaja pakaian baharu. Saya akan hentikan amalan tersebut.
“Ada orang kata itu perkara kecil macam saya tak ambil Mercedes perkara kecil, tak ambil gaji perkara kecil.Yang kecil-kecil itu jadi bergunung lauknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang ini.
Anwar juga menegaskan setiap kementerian dan agensi di bawahnya menghentikan amalan pemberian hadiah kepada mereka yang berjawatan, peruntukan untuk baju batik, sampin dan pakaian pada setiap kali majlis.
Perdana Menteri berkata, hasil daripada penjimatan, kerajaan akan berusaha mewujudkan infrastruktur untuk golongan penjaja dan peniaga kecil di setiap kawasan pembangunan.
“Bandar raya seperti Kuala Lumpur bukan saja seharusnya menyediakan kemudahan bagi syarikat dan industri besar, sebaliknya perlu menyertakan kemudahan bagi memacu ekonomi penjaja dan peniaga kecil yang turut mewakili golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berjaya menjimatkan RM1.8 bilion daripada semakan semula kos tebatan banjir Sungai Golok di Kelantan yang asalnya berjumlah RM15 billion.
‘Inilah contoh tatakelola yang menekankan tadbir urus dan kepimpinan yang baik bagi mengelak ketirisan,” katanya.
Hadir bersama di majlis perasmian adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad.