
GDPM Fest 2025 usaha kerajaan perkasa PMKS bidang kesihatan dengan teknologi masa hadapan
JOHOR BAHRU – Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 peringkat negeri Johor bagi memperkasa penerapan penyelesaian teknologi masa hadapan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.
Dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching program tersebut merupakan usaha Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan, tidak tercicir daripada arus kemajuan teknologi.
Selain itu, program berkenaan turut mensasarkan pembentukan satu ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan mendatang.
Antara pengisian program berkenaan termasuk sesi perkongsian mengenai bantuan transformasi penjagaan kesihatan dan demonstrasi penyelesaian teknologi masa hadapan, kepentingan penggunaan teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, dan pengalaman realiti maya (VR).
“GDPM Fest 2025 membawa inisiatif ini ke akar umbi melalui pendekatan setempat yang lebih dekat dengan komuniti perubatan dan usahawan kesihatan tempatan.
“MCMC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan Guideline on Online Healthcare Services (OHS), satu usaha penting dalam memastikan penggunaan platform kesihatan masa hadapan yang selamat, bertanggungjawab dan beretika,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, MCMC berkata sokongan rakan-rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Bank Simpanan Nasional (BSN), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi serta rakan-rakan rakan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan, membuktikan pentingnya penyatuan peranan sektor awam dan swasta dalam memperkukuh ekosistem kesihatan negara.
GDPM Fest 2025 akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di Johor Bahru hari ini, diikuti di Kuantan, Pahang pada 17 Ogos dan di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos.
“MCMC berharap, GDPM Fest akan dapat menyokong usaha kerajaan ke arah
ekosistem penjagaan kesihatan lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |