
Kerajaan akan kuatkuasa larangan kenderaan berat guna lorong kanan di lebuh raya
Satu daripada lima penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara ketat
PUTRAJAYA – Semua kenderaan berat seperti sama sekali tidak dibenarkan menggunakan lorong paling kanan di lebuh raya apabila undang-undang berkaitan dikuatkuasakan.
Larangan ini merupakan satu daripada lima penambahbaikan yang akan dikuatkuasakan secara ketat oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) terhadap kenderaan komersial, khususnya lori dan bas, lapor NST.
Antara penambahbaikan lain termasuk, mewajibkan pemasangan peranti kawalan kelajuan, sistem penjejakan GPS, pengesan berat berkelajuan tinggi (HS-WIM) di 11 lokasi lebuh raya, serta penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Menurut Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan, peraturan melarang bas dan lori daripada menggunakan lorong paling kanan telah diwartakan sejak 2015 tetapi masih belum dikuatkuasakan.
“Di bawah peraturan ini, lori dan bas mesti kekal di lorong kiri dan tidak dibenarkan memandu laju. Jika perlu memotong, mereka boleh berpindah ke lorong kedua (lorong tengah) sebelum kembali ke lorong kiri.
“Bagaimanapun, mereka dilarang keras menggunakan lorong ketiga pada bila-bila masa. Oleh itu, kami akan mengemukakan semula cadangan ini kepada Jemaah Menteri bagi memastikan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat di lebuh raya,” katanya dalam laporan tersebut.
Berkenaan peranti kawalan kelajuan, semua lori baharu sudah dilengkapi dengan alat tersebut, namun, pemilik kenderaan lama boleh memasangnya sendiri seperti yang dibenarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Peranti ini akan mengehadkan kelajuan kenderaan berat kepada 80km/j hingga 90km/j bagi mengelakkan kemalangan.
“Peraturan ini juga telah diwartakan di bawah undang-undang sedia ada, tetapi belum dikuatkuasakan, dan kami mahu melihat pelaksanaannya,” tambahnya lagi
Beliau kemudian memberitahu, peraturan pemasangan alat GPS akan berkuat kuasa bulan ini, membolehkan APAD mengambil tindakan berdasarkan pemantauan sistem secara masa nyata.
“Bagi peranti kawalan kelajuan dan GPS, pemeriksaan akan dilakukan setiap enam bulan di Puspakom bagi memastikan pematuhan,” katanya lagi.
Sekiranya terdapat pelanggaran peraturan lalu lintas, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan serta-merta, termasuk menggantung atau membatalkan permit syarikat lori atau bas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |