BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Amanat perpisahan: Abang Iskandar seru generasi muda kehakiman junjung keadilan tanpa gentar

PUTRAJAYA – Generasi muda dalam badan kehakiman diseru agar terus memperjuangkan keadilan dengan penuh ketelusan, kejujuran dan amanah, tanpa gentar atau tunduk kepada sebarang tekanan.

Seruan itu disampaikan oleh Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dalam ucapan perpisahan beliau sempena tamatnya perkhidmatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, menandakan berakhirnya perjalanan 18 tahun beliau dalam dunia kehakiman hari ini.

Dalam ucapan beliau, Abang Iskandar menzahirkan rasa syukur kerana dapat menabur bakti selama 18 tahun dalam dunia kehakiman negara.

“Hari ini adalah hari terakhir saya bertugas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia dan seterusnya menutup tirai perjalanan karier saya sebagai seorang hakim yang bermula pada tahun 2007.

“Ia merupakan satu tempoh perkhidmatan selama 18 tahun yang penuh dengan liku-liku  mewarnai suatu kisah dan kenangan yang amat bermakna bagi saya.

“Saya meninggalkan tugas ini dengan penuh rasa syukur, keinsafan dan hati yang tenang,” katanya.

Abang Iskandar beramah mesra bersama para pengamal media pada hari terakhir beliau berkhidmat di pejabatnya di Mahkamah Istana Kehakiman, Putrajaya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dilahirkan di Sibu, Sarawak pada 3 Julai 1959, Abang Iskandar merupakan graduan Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya pada tahun 1983.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada tahun 2007 seterusnya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2009.

Sebagai penghargaan atas sumbangannya, beliau telah dikurniakan pelbagai darjah kebesaran termasuk Panglima Setia Mahkota dan Darjah Datuk Amar dari Kerajaan Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, Abang Iskandar turut melahirkan rasa syukur atas peluang sepanjang kerjayanya, yang bukan sahaja membentuk pengalaman berharga, malah membuka ruang untuk beliau menjalin hubungan erat dengan ramai tokoh berwibawa dalam dunia kehakiman.

“Dalam tempoh tersebut, saya telah bertemu dengan ramai insan yang baik, berdedikasi dan berhati mulia dikalangan para hakim, warga mahkamah, pengamal undang-undang, dan ahli akademik yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik demi menegakkan keadilan sejagat.

“Maka, ia telah mempermudahkan urusan saya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan juga sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya lagi.

Abang Iskandar
Abang Iskandar beramah mesra bersama para kakitangan pada hari terakhir beliau berkhidmat di pejabatnya di Mahkamah Istana Kehakiman, Putrajaya. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Abang Iskandar turut mengakui beliau bercampur baur antara kepuasan menamatkan amanah dengan penuh integriti dan kesedihan untuk berpisah dengan rakan-rakan seperjuangan.

“Saya sejujurnya pasti akan merindui suasana kerja, persahabatan dan wajah-wajah mereka yang saya temui setiap hari.

“Saya doakan agar mereka semua terus berjaya dalam kerjaya dan kehidupan keluarga masing-masing. Terima kasih atas persahabatan dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini,” kata beliau lagi.

Berkongsi perancangan selepas persaraan, Abang Iskandar menyatakan hasrat untuk lebih menumpukan masa bersama keluarga tersayang, melibatkan diri dalam kegiatan amal, serta menghidupkan semula hobi yang telah lama disimpan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button