BERITA SEMASA

Pengorekan Sungai Klang temui 10 mayat bayi

SHAH ALAM – Lebih 10 mayat termasuk bayi ditemui sepanjang pelaksanaan Projek Mitigasi Banjir Sungai Klang yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif Selangor Maritime Gateway (SMG), sekali gus membongkar sisi gelap sungai yang kini giat dipulihkan itu.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, penemuan mayat bukan kejadian terpencil, sebaliknya berlaku hampir setiap bulan sejak kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai dimulakan pada 1 November 2022.

“Setakat ini, kami telah menyerahkan lebih 10 mayat kepada pihak polis dan bomba untuk tindakan lanjut.

“Malah, ada juga kejadian di mana kami menemui tiga mayat dalam tempoh berturut-turut,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut beliau, antara penemuan yang paling mengejutkan ialah mayat bayi yang sekali gus menunjukkan cabaran luar jangka dalam melaksanakan projek berkenaan.

Selain penemuan mayat, pasukan pelaksana turut berdepan cabaran besar dalam bentuk pencemaran fizikal apabila pelbagai sampah berskala besar ditemukan di dasar sungai.

“Kami jumpa peti sejuk, tayar lori, katil, tilam, sofa, malah motosikal,” katanya lagi.

Setakat ini, lebih 918,936 meter padu bahan korekan seperti mendapan, sampah dan bahan batuan telah dikeluarkan dari dasar Sungai Klang.

Projek mitigasi itu merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik di bawah SMG yang bertujuan meningkatkan kapasiti Sungai Klang sehingga 40 peratus, selain membaik pulih ekosistem dan meningkatkan kualiti air kepada tahap Indeks Kualiti Air (IKA) Kelas III dan ke atas.

Syaiful berkata, inisiatif tersebut juga menyokong pelaksanaan Shah Alam Sustainable Urban Drainage (SASUD) dan pembangunan Loji Rawatan Air di Sungai Rasau.

“Usaha ini penting untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sumber air mentah yang boleh dirawat menjadi air minuman,” jelasnya lagi.

LLSB selaku pemaju induk projek dengan kerjasama agensi berkaitan terus komited untuk memastikan Sungai Klang bukan sahaja bersih, tetapi turut memainkan peranan penting dalam kelestarian alam sekitar dan pembangunan masa depan negeri Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button