
Garis panduan buli KKM perlu takrifan jelas – Lee Lam Thye
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran menetapkan takrifan yang jelas berhubung perbuatan buli seperti penderaan lisan, pengasingan sosial, ugutan serta sabotaj profesional dalam garis panduan pengurusan buli di klinik dan hospital kerajaan yang dijadual diperkenalkan Oktober ini.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, garis panduan tersebut perlu merangkumi pendekatan menyeluruh dan tidak cukup sekadar dokumentasi dasar semata-mata.
“Seterusnya ialah pelaksanaan dasar toleransi sifar terhadap buli tanpa mengira jawatan, penyediaan saluran aduan yang selamat dan tanpa nama serta penganjuran latihan kesedaran secara berkala.
“Penubuhan jawatankuasa anti buli di setiap hospital dan klinik utama juga boleh diwujudkan, selain sistem sokongan seperti kaunseling dan pemindahan jabatan untuk mangsa yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pada 12 Julai lalu, Dr Dzulkefly memaklumkan, garis panduan berkenaan sudah siap sepenuhnya dan akan dilancarkan secara rasmi sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia pada Oktober, sebelum ia diedarkan kepada semua fasiliti kesihatan bawah KKM.
Menurutnya, KKM juga digesa menganjurkan latihan kesedaran secara berkala bagi memberi kefahaman kepada semua warga kerja kesihatan mengenai kesan buruk perbuatan buli, serta mewujudkan jawatankuasa khas antibuli di setiap hospital dan klinik utama sebagai badan pemantau.
“Adalah perlu untuk menyediakan persekitaran kerja selamat dan bermaruah kepada petugas barisan hadapan kesihatan negara dan ini tidak boleh dipandang ringan.
“Situasi semasa, semakin banyak laporan berkaitan amalan buli yang menjejaskan petugas kesihatan seperti pegawai perubatan siswazah, jururawat dan staf sokongan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyarankan agar sistem sokongan disediakan, termasuk sesi kaunseling dan pilihan pemindahan jabatan kepada mangsa yang terkesan.
Lam Thye menjelaskan bahawa pelaksanaan garis panduan itu menuntut komitmen kukuh daripada semua peringkat, selain memerlukan sumber mencukupi dan penguatkuasaan konsisten.
Katanya, tanpa tindakan menyeluruh, dokumen tersebut hanya akan tinggal sebagai polisi di atas kertas yang gagal membawa perubahan sebenar di lapangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |