
Pendakwaan kes SRC tidak cacat – Jabatan Peguam Negara
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan dakwaan bahawa terdapat kecacatan dalam pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.
Dalam satu kenyataan semalam, AGC berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan tugas pendakwaan mengikut standard tertinggi, selaras dengan kehendak undang-undang dan harapan rakyat.
“AGC kekal komited untuk menjunjung kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan penuh integriti, keadilan serta menghormati proses kehakiman,” kata kenyataan itu.
Penegasan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melepaskan Najib daripada pertuduhan tersebut tanpa membebaskannya (DNAA).
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan sejumlah besar dokumen penting kepada pihak pembelaan walaupun pertuduhan telah dikemukakan sejak tahun 2019.
Mengulas lanjut mengenai kelewatan yang berlaku, AGC menjelaskan bahawa kes berkenaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi pada Februari 2019 namun ditangguhkan sebanyak lima kali atas pelbagai sebab termasuk pandemik Covid-19, permohonan daripada pihak pembelaan dan juga pihak pendakwaan sendiri.
Menurut AGC, ketika itu prosiding kes pertama SRC masih berjalan di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, manakala prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut bermula.
“Kedua-dua kes ini melibatkan penggunaan dokumen material yang sama. Oleh itu, pihak pendakwaan tiada pilihan selain menunggu dokumen-dokumen itu selesai digunakan dalam perbicaraan kes 1MDB sebelum boleh dikemukakan dalam kes SRC kedua,” katanya lagi.
Tambah AGC, walaupun dokumen terbabit kini telah tersedia, ia masih digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan kes 1MDB yang sedang berlangsung.
Pihak pendakwaan turut memohon masa tambahan untuk mengumpulkan dan menyediakan dokumen tersebut bagi tujuan perbicaraan yang adil dan menyeluruh.
“Kelewatan ini tidak disengajakan. Ia adalah perlu bagi memastikan integriti dokumen sebagai bahan bukti perbicaraan dapat dikekalkan sepenuhnya,” menurut kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |