Berita Semasa

Kebakaran paip gas PETRONAS: Sebuah PPS diaktifkan

SUBANG JAYA – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa kebakaran saluran paip gas PETRONAS, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika mengumumkan perkara itu turut berkata, ketika ini pihak bomba sedang melaksanakan operasi memadamkan kebakaran dan mengarahkan pemindahan penduduk di kawasan sekitar.

“Unit Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan PPS di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terbabit sementara waktu sehingga keadaan pulih dan terkawal,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba di lokasi pada jam 8.22 pagi.

Katanya, kejadian itu melibatkan paip gas sepanjang 500 meter di sebuah stesen minyak di Jalan Putra Harmoni, Puchong, dekat sini, berhampiran kawasan perumahan awam.

Sebanyak 41 anggota dari sembilan balai bomba bersama 17 jentera digerakkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran dan menjalankan kerja pemindahan penduduk sekitar.

Komander Operasi Mohamad Fadhil Buari memaklumkan, api sedang marak ketika pasukan tiba dan tindakan segera diambil untuk mengawal kawasan serta menyejukkan saluran gas terbabit.

Katanya, punca kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran paip gas milik PETRONAS.

Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dan operasi masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button