
AI Code Fest 2025 perkasa bakat tempatan, cipta penyelesaian kesihatan berasaskan AI
KUALA LUMPUR – Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), melalui Kementerian Digital menganjurkan AI Code Fest 2025, program pertandingan ‘buildathon’ selama dua hari untuk membangunkan prototaip penyelesaian kesihatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara pantas.
Acara yang menjadi permulaan rasmi kepada Sidang Kemuncak AI ASEAN Malaysia 2025 (AAIMS25) itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.

Menurut Fabian, AI Code Fest bukan sahaja mempamerkan kreativiti dan kepakaran malah menandakan anjakan strategik Malaysia daripada pengguna kepada pengeluar teknologi.
“Inilah platform yang membolehkan bakat tempatan bergerak melangkaui penerimaan pasif dan melangkah dengan yakin ke peranan sebagai pencipta.
“Aspirasi ini selaras dengan visi Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam RMK-13,” katanya.
Dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Asia School of Business, Hive Global AI dan AI Tinkerers, AI Code Fest menghimpunkan seramai 156 peserta terdiri daripada pemaju perisian, jurutera, pelajar serta golongan profesional bukan teknikal.
Menurut Fabian, peserta diberi cabaran membangunkan prototaip penyelesaian kesihatan berasaskan AI yang dapat mengurangkan beban pentadbiran klinikal, memperibadikan pengalaman pesakit serta membangunkan sistem amaran awal untuk melindungi komuniti.

Ketua NAIO, Sam Majid pula menekankan masa depan AI negara akan dibentuk dalam ekosistem kolaboratif.
“Ruang seperti AI Code Fest memberi peluang kepada bakat digital mengaplikasikan kemahiran mereka secara langsung untuk menyelesaikan cabaran dunia sebenar.
“Festival itu lebih daripada sekadar pertandingan kerana ia adalah medan untuk memupuk inovasi, kerjasama dan penyelesaian praktikal,” ujarnya.
AI Code Fest merupakan sebahagian daripada komitmen NAIO terhadap keterangkuman, pembangunan bakat serta penghasilan penyelesaian AI yang membawa manfaat kepada rakyat.
Sebagai acara sokongan kepada AAIMS25 yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sidang kemuncak tersebut dijangka menghimpunkan pembuat dasar ASEAN, pemimpin industri, penyelidik, syarikat pemula dan masyarakat sivil bagi membentuk masa depan AI yang mampan, selamat dan inklusif di rantau ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |