
PeSAWAH minta kerajaan naikkan harga lantai jualan padi, tidak tahan tanggung rugi
PUTRAJAYA – Kenaikan harga kos pertanian yang tinggi dan harga lantai jualan padi yang rendah menyebabkan ribuan pesawah di seluruh negara menanggung kerugian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bagi membela golongan itu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) hari ini menggesa kerajaan untuk menaikkan harga lantai bagi jualan padi dari RM1,300 kepada RM1,800.
Gesaan melalui serahan memorandum itu diserahkan oleh 10 wakil kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Chan Ming Kai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pagi ini.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, melalui memorandum itu dua isu utama dibangkitkan iaitu harga lantai jualan padi dan bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan harga lantai padi perlu dilakukan kerajaan bagi menampung beberapa kos yang semakin meningkat.

“Pertama adalah harga kos benih padi yang meningkat dua kali sejak 2023, terkini sebanyak RM58 bagi 20kg (berbanding RM45 pada 2023).
“Begitu juga dengan kos membajak dan menuai yang turut terkesan (meningkat) akibat pemansuhan subsidi diesel.
“Selain itu kos racun kimia juga meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh dua tahun.
“Kenaikan kos lain termasuk upah penyelenggaraan sawah dan sewa tanah. Semua ini memberi tekanan kepada pesawah,” kata pada sidang media di pekarangan KPKM hari ini.
Abdul Rashid menjelaskan bahawa harga lantai jualan padi semasa yang ditetapkan pada tahun 2023 tidak lagi relevan.demi kelangsungan petani.
Mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman yang berkemungkinan dibentangkan di Parlimen dalam sesi akan datang, katanya pihaknya membantah kerana ia dibuat tanpa sebarang perundingan dengan petani.
Beliau berkata, RUU itu mewajibkan setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memperoleh lesen dan menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.
” PeSAWAH membantah keras cadangan Rang Undang-Undang ini yang bakal mewajibkan lesen dan pengesahan makmal bagi individu yang memproses serta mengedar benih tanaman.
“RUU ini turut memperuntukkan denda sehingga RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi pesalah.
“RUU ini hanya akan membebankan kami, para petani kecil, yang sudah sedia tertekan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan PeSAWAH telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Januari lalu memaklumkan kunjungan mereka untuk membincangkan isu-isu yang membebankan pesawah tempatan.
“Kami berterima kasih kepada Pejabat Perdana Menteri kerana menerima kehadiran kami yang membawa harapan tinggi untuk menyuarakan keperluan pesawah,” ujar Abdul Rashid.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |