‘Citarasa Malaysia’ di tengah kota London
DAMANSARA – Sebuah restoran milik syarikat Malaysia di tengah-tengah kota London bakal menjadi hab baharu bagi pasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan di Eropah.
Pemilihan Restoran Jasmine yang dimiliki oleh Kumpulan Mercu sebagai gerbang untuk mengembang dan meneroka peluang perniagaan itu merupakan jalinan kerjasama Pertubuhan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita).
Presiden Wawasanita, Norli Alias berkata, pihaknya memilih Restoran Jasmine sebagai Rakan Strategik Pemerkasaan Wanita dan Keusahawanan untuk mengembangkan rangkaian perniagaan eksport produk tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Tentunya usaha yang mendapat sokongan pihak Matrade ini akan menjadi satu lagi platform untuk membantu, menyokong dan memperkasakan produk PMKS melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.
“Kerjasama dengan Restoran Jasmine yang merupakan antara premis F&B milik rakyat Malaysia terbesar di London akan menjadi hab yang cukup strategik,” katanya pada majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wawasanita dengan Restoran Jasmine di sini, Selasa lalu.
Hadir sama Pengarah Bahagian Transformasi Perdagangan Digital Matrade, A’Dzimah Ghazali; Pengerusi Kumpulan Mercu, Datuk Seri Ahmed Sukimi Ibrahim, Presiden Restoran Jasmine, Datin Seri Mastura Yusoff, Pengarah Restoran Jasmine, Linda Noor.
Norli berkata, selain mendapat peluang penempatan produk di kawasan elit Kota London, kerjasama itu juga akan dilengkapkan dengan program pemadanan perniagaan, penjenamaan dan promosi secara berterusan dalam usaha menjayakan hasrat ‘Local Go Global’.
Sebagai permulaanya katanya, Wawasanita akan membawa masuk tiga jenama produk keluaran usahawan bimbingan pertubuhan itu ke pasaran Eropah dengan 23 jenis barangan perniagaan (SKU).
Usahawan yang terpilih adalah Pak Leh, NekSom dan Adia Global yang menghasilkan produk makanan citarasa Malaysia dalam bentuk pes dan sedia dimakan (RTE).
Untuk tahun ini pula, Norli mensasarkan jualan sebanyak RM1 juta melalui penglibatan kira-kira 50 usahawan tempatan dan 250 SKU di pasaran Eropah.
“Bagi menyemarakkan lagi usaha membawa produk kita ke luar negara, kami sentiasa bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi (Upen) di setiap negeri memberi kesedaran kepada aspek ‘kebersediaan ekpsort’ kepada usahawan.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Upen Selangor kerana kerjasama hari ini adalah hasil daripada ekspedisi perniagaan (trade mission) ke London pada 2022,” ujar bekas Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Projek Khas TEKUN itu.
Sementara itu, Mastura berkata, Restoran Jasmine di Lexham Gardens, Kensington sebagai restoran milik rakyat Malaysia terbesar di London mampu menyediakan pelbagai keperluan untuk menjayakan usaha Wawasanita.
“Dengan kapasiti 400 tetamu pada satu-satu masa, tarikan hidangan bercitarasa Malaysia dan Barat yang bertaraf fine-dining, kami yakin restoran kami dapat menjadi ‘duta’ kepada produk-produk keluaran Malaysia,” katanya.