Hiburan

Bintang K-Pop Rain bakal muncul bintang utama AIFFA 2023

KUCHING – Artis K-Pop dari Korea Selatan, Rain bakal muncul sebagai bintang utama Festival Filem Antarabangsa Asia (AIFFA) di sini, Ogos ini, umum Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Pengurusan AIFFA, pelakon yang popular menerusi filem Ninja Assassin itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke festival filem berkenaan susulan bakat luar biasanya dalam bidang lakonan di peringkat global.

Rain, 41, atau nama sebenarnya, Jung Ji-hoon dijadualkan akan membuatkan kemunculan istimewa pada 4 Ogos 2023 di Taman Old Courthouse pada jam 3.30 petang.

“Bintang utama bagi AIFFA 2023 ialah tak lain dan tak bukan Rain,” umum Abdul Karim pada majlis tayangan perdana filem Sumpahan Jerunei di sini, Khamis lalu.

Tambah Abdul Karim, filem Sumpahan Jerunei akan memaparkan adat budaya kaum di Sarawak dan akan ditayangkan kepada perwakilan ASEAN pada malam pembukaan AIFFA 2023.

Justeru, beliau mempelawa penduduk setempat untuk memeriahkan lagi festival filem berkenaan dengan menonton filem tersebut.

Untuk rekod, sebanyak 120 filem dari 10 buah negara anggota ASEAN akan menyertai festival filem berkenaan yang kini memasuki tahun keenam penganjurannya  pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Sebanyak 17 kategori akan dipertandingkan pada Malam Gala AIFFA meliputi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal penghasilan filem.

Pengunjung boleh menempah tiket menerusi pautan Facebook FESTIVAL & AWARDS FILEM ANTARABANGSA ASEAN, laman web atau hubungi talian 017-6306851.

Show More

Related Articles

Back to top button