Kementerian Komunikasi mahu Finas beri lebih fokus terhadap aspek pra produksi
PUTRAJAYA – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) perlu memberi fokus terhadap aspek pra produksi seperti penulisan skrip yang berkualiti serta aspek pemasaran, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas mengenai aspek pemasaran, Fahmi berkata, filem yang dihasilkan menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD) tidak seharusnya bergantung penuh terhadap Skim Wajib Tayang.
Justeru, beliau berkata, sekiranya diberi lebih masa untuk memasarkan filem berkenaan dengan perancangan yang lebih teratur, maka hasil kutipan akan jauh lebih memberangsangkan.
“Saya lihat antara cabaran yang dihadapi untuk filem yang telah disiapkan oleh dana DKD, ada satu sikap yang perlu dilihat semula iaitu hanya mengharapkan Skim Wajib Tayang.
“Kalau dirancang dan direncana dengan baik dan dipasar filem-filem ini jauh lebih awal daripada jadual yang sering kita lihat sekarang kadang kala seminggu dan dua minggu dari tarikh wajib tayang, saya percaya kalau diberi lebih masa dan diatur perancangan pemasaran maka hasil kutipan pun Insya-Allah lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Spotlight Apresiasi Sinema Malaysia dan Hala Tuju Rekalibrasi Finas di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, teradapat keperluan untuk Finas membawa filem-filem tempatan bagi dipasarkan di pasaran filem antarabangsa khususnya rantau Asia Tenggara.
“Salah satu cabaran yang dihadapi oleh para produser adalah mengumpulkan dana untuk bawa filem ke luar (pasaran antarabangsa). Saya lihat Finas sebelum ini pernah menyatakan kesediaan membawa filem-filem dan saya kira ia adalah langkah yang positif,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan 2023 sebagai tahun yang amat cemerlang dengan kejayaan 30 buah filem tempatan yang berjaya memenangi pelbagai anugerah menerusi festival-festival filem antarabangsa.
Tambah Fahmi, sehingga kini,
kutipan box-office filem tempatan juga telah mencecah RM98.8 juta dengan 56 buah filem sudah ditayangkan.