Berita Semasa

Negara perlu kurangkan kebergantungan kepada import makanan – TPM

PUTRAJAYA – Negara tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan kerana harganya yang tinggi akibat faktor tukaran mata wang asing merugikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini nilai import makanan sudah mencecah RM62 bilion setahun berbanding RM48 bilion sebelum ini.

“Kalau kita bergantung kepada makanan import, ia akan menjadikan negara ini secara teknikalnya bakal menghadapi kebankrapan.

“Jika kita dapat selamatkan RM60 bilion ini, lebih tepat, RM62 bilion melalui pengeluaran makanan tempatan, bukan sahaja kita dapat kurangkan pertukaran asing tetapi juga dapat merangsang ekonomi domestik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menekankan negara tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup berkata, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu bekerjasama memberi fokus kepada keterjaminan makanan dan memastikan permintaan di dalam negara mencukupi.

Beliau menambah, semua agensi pembangunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu negara mengurangkan kebergantungan import makanan.

Mengenai MoU hari ini, Ahmad Zahid berkata, ia merupakan langkah permulaan antara MARDI dan agensi pembangunan wilayah di bawah KKDW untuk membantu KPKM meningkatkan pengeluaran makanan di dalam negara.

MoU tersebut merangkumi kerjasama dalam melaksana aktiviti pemindahan teknologi, pengetahuan dan khidmat nasihat teknikal yang dihasilkan daripada penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI kepada agen pengembangan dan usahawan di wilayah Johor Tenggara.

Show More

Related Articles

Back to top button