
Jam Rolex dilelong bekas Menteri Agama cecah RM110,000
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini melelong seutas jam tangan jenama Rolex bagi mengumpul dana untuk disumbang kepada tabung Palestin.
Lelongan di laman Facebook beliau yang bermula kira-kira pukul 11 pagi tadi setakat pukul 7 petang tadi telah mencapai harga bidaan RM110,000 selepas harga permulaan RM40,000.
Bidaan jam Rolex Oyster Perpetual yang merupakan hadiah daripada Raja Arab Saudi, Al-Malik Salman Abdulaziz itu dibuka dengan kenaikan RM100 sehingga 12 tengah malam ini.
“Menjunjung kasih DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz atas derma kurnia yang amat bermakna ini. Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.
“Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
“Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.
Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen,” katanya pada hantaran di Facebook.

Menurut Zulkifli, jam tersebut dihadiahkan oleh Raja Salman pada tahun 2017 ketika beliau menghadiri mesyaurat sebagai panel Penasihat Syariah Bank Negara atas kapasiti sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut (sejak terima). Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri. Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |