Kanak-kanak maut selepas terperangkap dalam mesin basuh
IPOH – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah mesin basuh di rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi, di sini.
Mangsa yang ditemui neneknya kira-kira pukul 9.30 pagi semalam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kematian mangsa diterima pada pukul 11.44 pagi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit ada bersama ahli keluarga di rumah berkenaan sebelum ditemukan dalam keadaan longlai.
“Mangsa dijumpai oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh ambulans namun disahkan meninggal dunia jam 11.02 pagi ini ” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Katanya, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik HRPB hari ini mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).