Jenayah & Mahkamah

Penceramah bebas didakwa hina Agong

IPOH – Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp, tahun lalu.

Tertuduh, Ab Malik Hussain, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp ‘soal jawab tasawuf-(sufi)’.

Hantaran itu dilihat sekitar jam 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, lapor Sinar Harian.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.

Terdahulu, Saiful Akmal mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mohamad Khazali memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap. Dia merupakan penceramah di Kelantan dibayar sebanyak RM200 bagi setiap ceramah dengan tawaran empat ke lima ceramah sebulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Show More

Related Articles

Back to top button