UMNO tidak perlu layan pandangan peribadi ahli parti komponen lain – Presiden UMNO
SEREMBAN – UMNO tidak akan melayan dan tidak perlu memberi reaksi balas terhadap sebarang kritikan yang dibuat oleh ahli parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, perbuatan melontar’ batu ke rumah kaca itu’ tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya hanya akan memperbesarkan masalah.
Tambahnya, pandangan yang dilontar secara peribadi juga tidak mewakili pendapat atau menjadi dasar dalam Kerajaan Perpaduan.
“Saya ingin memberi pandangan, mana-mana komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan yang mempunyai pendapat berbeza, kami tidak akan layan kerana itu bukan pendapat rasmi mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ia tidak akan menjadi dasar atau pendirian mana-mana kepimpinan parti dan pegangan kami, perbincangan hanya akan dilakukan antara BN dan PH,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan jentera UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua malam tadi menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.
Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan label sama turut diberikan kepada BERSATU selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.
Sementara itu Ahmad Zahid berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyifatkan kenyataan Tony Pua dibuat atas kapasiti indivitu dan tidak mewakili kepemimpinan parti itu.
“Saya juga berterima kasih kerana YB Anthony Loke juga telah memberi kenyataan bahawa beliau tidak mengiktiraf pandangan yang berbeza sebagai pandangan parti.
“Kami juga berpendirian supaya kita perlu terus bergerak ke depan,” katanya.