Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun
KUALA LUMPUR – Legenda muzik negara, Tan Sri Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.
Berita pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuhnya, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan anaknya, Nasir Nawab.
Difahamkan, keadaan Allahyarham lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak bulan lalu.
Allahyarham Ahmad Nawab, seorang ikon muzik tersohor, meninggalkan legasi yang luar biasa dalam industri rakaman tempatan dengan mencipta lebih 2,000 lagu sejak era 1950-an.
Pada 5 Jun 2023, beliau menerima anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Karier muziknya bermula pada usia 16 tahun dan pada tahun 2006, beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan iaitu pengiktirafan tertinggi negara untuk tokoh seni dalam bidang muzik.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang dibawakan oleh penyanyi terkenal seperti Allahyarham Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Selain itu, karya Allahyarham Ahmad Nawab turut merentasi sempadan dengan menghasilkan lagu untuk artis Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Beliau pernah berkhidmat selama 17 tahun bersama Orkestra RTM dan telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Merak Kayangan bagi lagu pertamanya, ‘Bintang Malam’ pada tahun 1980.
Sebagai penghargaan atas sumbangan dan kepakarannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganugerahkan beliau gelaran Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang penulisan pada tahun 2000.