Old Money: Warisan kekayaan, elegan yang tidak pudar
APABILA berbicara tentang kekayaan, dua istilah sering timbul – Old Money dan New Money. Namun, tahukah kita apa yang sebenarnya membezakan antara kedua-duanya?
Old Money merujuk kepada kekayaan yang diwarisi turun-temurun dalam sesebuah keluarga, biasanya disertai dengan status sosial, tradisi dan gaya hidup yang elegan serta sederhana.
Ia bukan sekadar tentang kekayaan material, tetapi juga mencerminkan keanggunan, pendidikan tinggi dan tanggungjawab sosial yang diwarisi melalui generasi.
Dari rumah agam era Victoria hingga perhiasan keluarga yang berusia berpuluh atau beratus tahun, Old Money hakikatnya adalah simbol ketenangan dan keabadian.
Ia jauh sekali daripada gelombang kekayaan dunia moden yang penuh glamor dan menunjuk-nunjuk.
Sementara itu, istilah New Money pula merujuk kepada individu atau keluarga yang baru memperoleh kekayaan. Biasanya melalui usaha sendiri dalam masa yang singkat seperti perniagaan, pelaburan atau kerjaya profesional.
Tidak seperti Old Money yang mewarisi kekayaan daripada satu generasi ke generasi seterusnya, New Money pula mengumpul kekayaan sendiri dalam satu generasi.
Bangsawan terkenal, Warren Buffett pernah berkata: “Price is what you pay. Value is what you get.” (Harga adalah apa yang anda bayar. Nilai adalah apa yang anda dapat.)
Buffett merupakan seorang hartawan yang sangat dikenali dengan gaya hidup sederhana. Walaupun beliau tergolong dalam kalangan New Money, pandangannya sering mencerminkan nilai Old Money.
Baru-baru ini, tular mengenai isu dan fesyen Old Money yang dibawakan oleh seorang pempengaruh tempatan. Ia membawa pelbagai reaksi daripada netizen dan khalayak. Banyak yang mengecam, namun ada juga yang mengambil pendekatan meraikan.
Ironinya gaya Old Money adalah satu cara pemakaian yang bersifat sofistikated, elegan, kemas dan sopan. Golongan ini sering menonjolkan gaya pemakaian yang berkualiti melebihi kuantiti dan paling penting ia tidak akan ketinggalan zaman walaupun trend sering berganti.
Fesyen itu kekal dalam tradisi dan punyai nilai tersendiri. Gaya pemakaian sebegini telah mula diperkenalkan sejak abad ke-19 lagi.
Jom semak dan ketahui ciri-ciri golongan Old Money untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mengenai isu yang hangat ketika ini:
Ciri-ciri golongan Old Money
1. Ketenangan dan elegan yang sederhana
Kekayaan mereka tidak dipamerkan secara keterlaluan. Mereka mengutamakan kualiti dan keabadian daripada kemewahan yang terang-terangan.
2. Pendidikan tinggi dan budaya
Mereka sering dilatih untuk menghargai seni, muzik dan pendidikan berkualiti. Institusi pendidikan terkemuka sering menjadi pilihan mereka.
3. Warisan dan tradisi
Mereka bangga dengan tradisi keluarga, termasuk nilai-nilai tertentu seperti tanggungjawab sosial dan penghormatan terhadap sejarah keluarga.
4. Hubungan yang eksklusif
Jaringan sosial mereka sering tertutup dan eksklusif, hanya berhubung dengan golongan yang setaraf atau mempunyai nilai yang sama dengan kekayaan mereka.
5. Filantropi dan amal
Golongan Old Money cenderung menyokong projek amal atau seni dengan memberi nilai sumbangan yang besar tetapi ia dilakukan secara senyap tanpa dihebohkan kepada khalayak.
Okey, sudah faham kan? Jadi tepuk dada, tanya dalam diri golongan mana yang mahu kita ikuti.
Apa penting, ingat pesanan Imam Ghazali di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin: “Zuhud itu ialah meninggalkan keterikatan hati kepada dunia, bukan semata-mata meninggalkan dunia. Hakikat zuhud ialah kosongnya hati daripada kecintaan kepada dunia, bukan kosongnya tangan daripada dunia.”
Maknanya, tidak salah untuk kita berusaha meraih kekayaan untuk kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Namun letakkan ia (kekayaan dan dunia) itu di tangan, bukan di hati.
Insya-Allah, andai kita memahami konsep kehidupan dunia sementara ini, pasti segalanya dapat kita harungi dengan tenang tanpa perlukan pengaruh atau populariti.