HiburanRencana

Farasu merintis nuansa baharu Metal Nusantara

SELEPAS 20 tahun berada di dalam industri muzik, kumpulan yang memperjuangkan muzik metal, Farasu bakal melancarkan album terbaharu bertajuk Majestica.

Album keempat Farasu ini telah melalui proses rakaman secara profesional di Studio RK39 di Krubong, Melaka dengan sentuhan Rahmad Kamikaze sebagai “sound engineer” yang juga merupakan “producer” bersama Farasu untuk album ini.

Mixed dan Mastered juga oleh Rahmad Kamikaze. Album “Majestica” ini di terbitkan di bawah label Rockstage Entertainment dan owner label Talib Othman juga merupakan Executive Producer untuk album ini.

Majestica menampilkan 10 buah lagu yang dicipta dan ditulis sepenuhnya oleh Farasu. Ia menyambung kisah-kisah sejarah tua tanah air yang menjadi subjek berkarya untuk konsep Metal Nusantara garapan Farasu.

Kisah-kisah tersebut diangkat untuk membawa anak bangsa mendekati persejarahan tanah air agar tak lupa kepada jati diri selain mencetuskan kelainan muzikal Metal peringkat dunia.

SEJARAH AWAL

Farasu telah ditubuhkan pada 12 Disember 2002 di Seri Serdang, Selangor. Ia diasaskan oleh Nahax, Bull dan Fidaiyyin. Kemudiannya Kotam melengkapkan keanggotaan band selaku vokalis.

Sebelum penubuhan Farasu, Nahax, Bull dan Kotam adalah anggota Iron Storm, sebuah band metal dari Sri Serdang manakala Fidaiyyin merupakan drummer Brave In Vision (BIV) kugiran old school metal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Setelah kumpulan masing-masing berpecah, kesinambungan muzik mereka diteruskan melalui penubuhan Farasu.

Nama Farasu dipetik daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang mengambil nama kuda semberani Raja Suran, Farasu’ Al Bahri.

Bermula secara aktif pada tahun 2003 melalui penglibatan pelbagai acara pentas ‘underground’ sepanjang tahun, Farasu turut melahirkan karya awal iaitu demo ‘A Millennium of Madness’ pada bulan Mac 2003.

Farasu turut melalui cabaran dan pancaroba yang menjadi peristiwa-peristiwa penting perjalanan muziknya dengan pertukaran keanggotaan band selain pengalaman-pengalaman persembahan pentas di dalam negara dan luar negara di Singapura, Indonesia, Taiwan, Nepal, China dan Jepun.

KARYA MUZIK

Sejak tahun 2002 hingga 2024, Farasu telah menghasilkan beberapa karya muziknya iaitu;

1. Demo ‘A Millennium of Madness’ – 2003

2. Mini Album ‘The Black Moon Eclipse’ – 2006

3. Album ‘Menongkah Arus’ – 2010

4. Album ‘Against Tyranny’ – 2015

5. Album ‘Sulalatus Salatin’ – 2018

6. Album ‘Majestica” – 2024

CETUSAN NUANSA BAHARU

Pengalaman-pengalaman persembahan pentas di luar negara khususnya di Taiwan, China, Jepun dan Indonesia telah mencetuskan ilham baharu dalam penciptaan karya baru yang melangkaui ‘kebiasaan’ karya metal tempatan.

Farasu telah melalui cabaran menghasilkan suatu bentuk muzikal metal yang bersulam kait dengan unsur-unsur Nusantara yang bergabung dengan muzik asas metal.

Langkah awal itu telah bermula melalui album kedua, Against Tyranny pada tahun 2015 walaupun tidak 100 peratus menepati konsep Metal Nusantara yang dicari-cari.

Namun hasil pengalaman melalui kembara muzik di luar negara secara konsisten sejak 2015 hingga 2019, Farasu telah mula menemui formula penciptaan Metal Nusantara itu. Album ketiga, Sulalatus Salatin yang terbit pada tahun 2018 menjadi cetusan signifikan menzahirkan konsep muzikal Metal Nusantara karya Farasu.

Kemunculan album Sulalatus Salatin itu memberi suatu kejutan dan anjakan baharu kepada muzik metal Malaysia malah juga peringkat antarabangsa.

Jika di peringkat dunia sejak tahun 1970an lagi telah wujud pelbagai istilah kepada muzik metal yang lahir di sesuatu negara seperti New Wave of British Heavy Metal (NWOBHM), Florida Death Metal, kemunculan Swedish Metal era awal 1990an dengan beberapa gelaran khusus seperti Gothenburg Sound dan Swedecore, kemudiannya Eastern Metal di Malaysia serta Oriental Metal yang tercetus di Taiwan.

Kesinambungan karya Metal Nusantara itu diteruskan oleh Farasu melalui album terkini, Majestica yang diterbitkan pada awal tahun 2024 dengan anjakan besar dari segi mutu bunyi yang tinggi dan proses rakaman profesional.

Secara rasminya sekarang Farasu di anggotai oleh Shah Z selaku vokalis, Nahax (gitaris), Apai (bass), Aman Keys (kibod), Mus Fidaiyyin (drum) dan Hazmeer (gitar).

Farasu akan mengadakan persembahan pentas istimewa sempena pelancaran album terbaru “Majestica” ini pada 23 Jun ini di Drum Asia, Bandar Sri Hartamas Kuala Lumpur bersama tiga band selaku supporting act.

Semua rilisan-rilisan Farasu boleh dicapai di semua Digital Platform seperti itunes, Spotify, Bandcamp, Youtube Music dan lain-lain.

Segala maklumat terkini Farasu terdapat di semua platform social media utama seperti Facebook, Youtube, Instagram, X, Tik Tok dan sebagainya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button