KPM akan kunjungi sekolah, pantau penggunaan vape dalam kalangan pelajar
NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan kunjungan ke sekolah bagi meningkatkan pemantauan terhadap penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekaligus menangani isu berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang berusaha menangani isu itu secara besar-besaran berikutan penggunaan vape merupakan kesalahan besar dalam disiplin di peringkat sekolah.
“Saya dan Ketua Pengarah dan juga Datuk KSU, kami semua akan turun untuk memberikan beberapa pendekatan dan melalui program-program dan bercakap sendiri dengan para pelajar, mengingatkan mereka tentang disiplin-disiplin yang perlu mereka perhatikan.
“Selain daripada buli, soal rokok, soal vape, ponteng sekolah, ini juga akan menjadi sebahagian daripada intervensi besar dalam gerakan kita menangani isu-isu sosial di peringkat sekolah,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu penggunaan vape memberi kesan dan implikasi kepada pelajar sekolah namun usaha menangani gejala berkenaan memerlukan peranan semua pihak khususnya ibu bapa.
“Kita perlukan bantuan ibu bapa juga untuk mengambil tanggungjawab, memerhatikan dan juga memastikan anak-anak mereka selamat ketika di rumah dan melihat apakah aktiviti-aktiviti yang mereka terlibat.
“KPM termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) amat tegas dalam perkara ini yang memberi kesan serta implikasi yang besar kepada anak-anak,” katanya.