Sukan

Harimau Malaya sah bertemu Laos, India November ini

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan mengadakan dua perlawanan antarabangsa tier 1 menentang Laos dan India pada kalendar antarabangsa FIFA, November ini.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlawanan pertama menentang Laos akan berlangsung pada 14 November ini dengan Laos bertindak sebagai tuan rumah, namun ia akan berlangsung di Bangkok, Thailand iaitu di Stadium Port Authority of Thailand (PAT).

“Ini kerana Stadium Nasional Lao KM16 di Vientiane, Laos diguna pakai untuk perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, Korea bertemu Iran pada tarikh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Laos memilih Bangkok sebagai gelanggang perlawanan bertemu Malaysia disebabkan mereka selepas itu akan menentang Thailand di Bangkok untuk perlawanan kedua pada 17 November ini.

Sementara itu, katanya, skuad Harimau Malaya pula akan terbang terus dari Bangkok ke India bagi perlawanan kedua menentang India.

Ujarnya, gelanggang perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Berdasarkan kemas kini terbaharu Ranking FIFA yang dikeluarkan Khamis lalu, Malaysia kini di tangga 133, India di tangga 125 manakala Laos di tangga 187.

Show More

Related Articles

Back to top button