Berita SemasaSukan

Safee Sali umum persaraan

DAMANSARA – Selepas 19 tahun menabur keringat di arena bola sepak, bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali mengumumkan persaraannya dari bergiat secara kompetitif, hari ini.

Safee, 39, mengumumkan keputusan itu dalam satu sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini.

“Saya merasakan walaupun saya tidak mempunyai kecederaan yang serius, tapi saya rasakan tidak mampu lagi bersaing secara kompetitif dengan pemain lain terutama di bahagian serangan.

“Saya rasa saya boleh beralih kepada bab seterusnya dalam kehidupan. Selepas ini, saya boleh fokus kepada apa yang mahu saya lakukan terutamanya akar umbi pemain-pemain muda kita,” katanya.

Safee turut berterima kasih kepada semua penyokong bola sepak negara yang sentiasa menyokongnya walaupun dalam keadaan sukar.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bagaimanapun menambah, persaraannya dari dunia bola sepak bukan bermakna penglibatannya dalam sukan tersebut sudah berakhir.

“Saya mempunyai perancangan untuk membuka akademi bola sepak dan padang bola saya sendiri. Itu merupakan perancangan masa hadapan selepas ini.

“Dan tugasan pundit bersama Astro Arena, saya takkan meninggalkan terus industri bola sepak. Saya akan terus memberi input-input yang pernah saya belajar, pengalaman yang saya dapat dan saya akan kongsikan dengan peminat-peminat bola sepak tanah air untuk memberi pengetahuan semula kepada komuniti,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Safee telah membuat penampilan sebanyak 76 kali bersama Harimau Malaya antara 2006 hingga 2019, dan menyumbang 23 gol.

Show More

Related Articles

Back to top button