Berita Semasa

Bom Perang Dunia Kedua berjaya dimusnahkan TLDM, polis

KOTA KINABALU – Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua selamat dimusnahkan di Pulau Mantanani, Kota Belud, Isnin lalu.

Bom lama tersebut berjaya dimusnahkan oleh Pasukan Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

TLDM dalam satu kenyataan semalam, berkata, kerja memusnahkan bom lama itu dilakukan oleh pasukan berkenaan yang dianggotai Pasukan Selam bersama Juruteknik Peluru Depot Peluru dan Letupan Timur diketuai oleh Komander Mohammad Nasrul Mat Daut TLDM.

Katanya, pasukan ini diatur gerak bagi membantu polis dalam misi memusnahkan bom itu di perairan berkenaan.

“TLDM sebelum ini menerima permohonan bantuan daripada IPD Kota Belud untuk memeriksa satu objek yang dipercayai bom lama di pesisiran pantai Pulau Mantanani yang berada 43 batu nautika Timur Laut Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

“Hasil siasatan dan temubual saksi mendapati objek itu disahkan UXO yang tidak aktif jenis Semi Armour Piercing Bomb, 500lbs, AN-M58 buatan Amerika Syarikat yang digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua oleh pasukan Pemusnah Bom TLDM,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, bom berkenaan kemudian dibawa ke daratan dan dimusnahkan oleh pasukan pada sebelah petang dengan selamat.

“Sebaik selesai, Pasukan Pemusnah Bom TLDM pulang ke PTKK,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button