Berita Semasa

Kajian mengenai kenyataan berbaur kebencian kenal pasti 9 aspek

Turut cadangkan empat langkah bagi tangani isu

PUTRAJAYA – Kajian mengenai kenyataan berbaur kebencian di Malaysia mencadangkan sembilan aspek yang perlu diberi perhatian dalam usaha menangani perilaku sedemikian.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspek yang dikenal pasti itu mencakupi institusi pendidikan, keluarga, institusi keagamaan, dasar pemerintah, undang-undang negara, penguatkuasaan, kepimpinan, badan bukan kerajaan (NGO) dan aspek pengunaan media sosial.

“Kenyataan berbaur kebencian yang tersebar di media sosial cenderung memperkukuh stereotaip negatif, meningkatkan prasangka, dan memupuk kebencian antara kumpulan etnik dan agama.

“Ini boleh merenggangkan hubungan antara komuniti yang berbeza dan mencipta jurang yang lebih dalam, yang seterusnya membawa kepada pengasingan sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, kajian tersebut turut mencadangkan empat langkah utama yang perlu diambil bagi menangani isu berkenaan.

“Kerajaan boleh menggubal dasar dan undang-undang yang mengawal penyebaran kenyataan berbaur kebencian, dan memperkenalkan pendidikan awam dan kempen kesedaran untuk mendidik masyarakat.

“Di samping itu juga, kerajaan turut boleh melaksanakan program pendidikan khas untuk pengamal media, termasuk wartawan dan pengurus media.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga boleh menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memanfaatkan modal insan dan kepakaran mereka untuk mengadakan program kesedaran dan pendidikan,” kata Aaron lagi.

Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia ini dilaksanakan oleh Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan UPM Consultancy and Services Sdn. Bhd. (UPMCS), dan dijalankan dalam tempoh enam bulan bermula 7 Disember 2023 sehingga 6 Jun 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button