32 daripada 33 kes mpox disahkan negatif, satu lagi masih menunggu keputusan
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 32 daripada 33 kes yang disyaki cacar monyet (mpox) di negara ini disahkan negatif manakala satu lagi masih menunggu keputusan makmal.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah tersebut adalah kes yang dikesan di negara ini berikutan penularan kali kedua wabak berkenaan di seluruh dunia.
Beliau berkata, sejak penularan kes pertama pada 26 Julai 2023, sembilan kes telah direkodkan sehingga kes terakhir pada November tahun yang sama.
“Tidak ada kes baharu sejak November tahun lalu. Buat masa ini, di luar Congo, terdapat satu kes masing-masing di Thailand, Sweden, Singapura (13 kes),” katanya dalam kenyataan di platform X.
Penyakit mpox lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.
Jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Sementara itu KKM dalam kenyataannya berkata, kerajaan telah meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa selepas pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai kecemasan Kesihatan Awam yang menjadi kepentingan antarabangsa sejak 14 Ogos lalu.
“Sejak 16 hingga 27 Ogos 2024, hampir 2.64 juta pengembara telah melalui saringan bagi gejala mpox di pintu masuk antarabangsa di mana setakat ini tiada kes yang disyaki mpox.
“Pengembara dari negara berisiko dinasihatkan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri dalam tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan,” menurut KKM dalam kenyataan itu hari ini.
Malaysia berisiko terkesan dengan penyebaran ‘clade Ib’ mpox yang lebih mudah merebak, berdasarkan situasi semasa yang melibatkan negara jiran.
Terkini, clade Ib telah dikesan di luar Afrika iaitu di Sweden dan Thailand, masing-masing pada 16 Ogos dan 21 Ogos lalu serta melibatkan sejarah perjalanan ke Afrika.
“Sebagai persediaan awal, KKM telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memaklumkan peranan masing-masing dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan mpox.
“Sesi secara maya juga telah diadakan bersama Kementerian Luar dan perwakilan Malaysia di negara Afrika bagi menggembleng kerjasama untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat kepada warga Malaysia yang berada di negara tersebut,” menurut kenyataan itu.