Berita Semasa

Jemaah gempar, mendapan tanah berlaku di Masjid As-Solihin

PADANG BESAR – sebuah motosikal hampir tertimbus selepas berlaku kejadian mendapan tanah di bekas tapak telaga di Masjid As-Solihin di Kampung Bawah Bukit, Chuping di sini.

Memetik laporan Sinar Online, Timbalan Pengerusi Masjid As-Solihin, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, kejadian disedari oleh jemaah kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas menunaikan solat Zuhur.

Katanya, ketika itu air keluar sedikit demi sedikit dari kawasan mendapan sehingga membanjiri keseluruhan lubang yang terbentuk.

“Melihat kejadian itu, jemaah masjid segera keluarkan motosikal dari lubang mendap berkenaan,” katanya.

Menurut Wan Kharizal, kawasan berlaku mendapan itu adalah bekas tapak telaga yang pernah wujud di kawasan itu hampir 30 tahun lalu.

Keadaan mendapan tanah di Masjid As-Solihin di Kampung Bawah Bukit, Chuping, Perlis

“Difahamkan, apabila kerja naik taraf dijalankan, telaga itu hanya disimen dan tidak dikambus menyebabkan ada lubang hampir sedalam lima meter,” jelasnya.

Katanya, pihak masjid telah melaporkan kejadian terbabit kepada beberapa pihak berkaitan untuk tindakan lanjut bagi menjamin keselamatan jemaah.

“Kita telah buat laporan kepada polis, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Atas jaminan daripada pihak JKR dan JMG kita masih meneruskan operasi masjid kerana mendapan tanah yang berlaku tidak serius.

“Kejadian ini bukanlah tanah jerlus seperti yang digambarkan ramai pihak selepas tular di media sosial,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button