Kemenangan PRK DUN Mahkota tidak jadikan UMNO angkuh, bongkak – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak akan menjadikan UMNO angkuh dan bongkak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kemenangan itu sebaliknya memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.
“Kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia berferaskan prinsip kesederhanaan, toleransi, fidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Asyraf Wajdi menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung semalam.
Pada 26 Oktober lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah meraih 27,995 undi, menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dengan 7,347 undi.
Tambah Asyraf Wajdi, UMNO mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada BN untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar.
“UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan Malaysia termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota,” ujarnya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, ia adalah sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
“Ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada fahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tapa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang,” ujarnya.