Politik

Sanusi dedah skandal dilakukan PH-BN ketika tadbir Kedah

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan tiga skandal didakwa dilakukan ketika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Kedah.

Menurut Muhammad Sanusi, PH ketika mentadbir negeri antara 2018 hingga 2020 didakwa menyebabkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerugian RM36 juta dan berhutang RM149 juta.

Justeru, beliau mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk menjalankan siasatan terhadap tiga kes tersebut.

“Dia (Saifuddin) selalu tanya suruh kita jawab, malam ini saya nak tanya (dan) kamu jawab…masa kamu (PH) jadi kerajaan 2018 hingga 2020, SADA mengalami kerugian RM36 juta dan ada hutang RM149 juta, mengapa masa itu kamu tak siasat?

“RM36 juta dan RM149 juta itu saya yang bayar, kenapa kamu tak siasat, pergi siasat. Dengan jumlah RM185 juta itu PH punya kerja, Pudin (Saifuddin) sila siasat.

“Waktu BN memerintah dibuat perjanjian dengan satu syarikat untuk membangunkan Jerai International Park, perjanjian itu telah dilanggar menyebabkan kerajaan negeri disaman dan dituntut RM50 juta.

“Setelah rundingan 30 tahun, kerajaan negeri tahun ini diperintah membayar RM21 juta, kenapa tak siasat?” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau akan mendedahkan satu per satu salah guna kuasa yang dilakukan BN dan PH berikutan tindakan Saifuddin yang kerap mencabarnya sejak akhir-akhir ini.

ADUN Jeneri itu juga turut mempersoalkan tindakan menyiasat beliau berhubung isu dua warga China yang terbabit kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.

“Sekarang kamu jawab ketika BN memerintah Kedah ada duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) sebanyak RM13 juta dipindahkan ke Kanada, mana pergi duit itu, mengapa tak siasat?

“Zaman BN, pemimpin BN buat kerja ini, sekarang BN dan PH cium mulut. Yang kena bayar kita rakyat Kedah yang hidup hari ini, yang buat kerja BN. Pudin (Saifuddin) sila siasat dah kamu rajin sangat pergi siasat.

“Ada bercambah fail lagi di pejabat saya dan tak pernah dalam tiga tahun ini kita berhasrat melondehkan keburukan sesiapa, tapi kamu kurang ajar, saya akan londeh kamu setiap hari,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button