Ahli GISBH mengaku tidak bersalah lakukan ugutan jenayah terhadap bekas ahli
PUTRAJAYA – Seorang lelaki yang merupakan ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan ugutan jenayah terhadap bekas ahli organisasi itu.
Tertuduh Mohamad Riza Makar, 39, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
“Mengaku tidak bersalah ,” katanya yang dituduh dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 9 September lalu, tertuduh secara jenayah telah menakutkan bekas ahli GISBH, Siti Nur Dalila Diyana Ismail pada jam 10.00 pagi di Tempat Letak Kenderaan Galeria, Presint 4, Putrajaya.
“Kita tunggu… kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga,” ugut tertuduh mengikut kertas pertuduhan itu.
Pihak Timbalan Pendakwa Raya, Unit Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Othman kemudian mencadangkan ikat jamin sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh.
Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili terduduh, Zulfikiri Ulul Azmin memohon ikat jamin dikurangkan memandangkan anak guamnya mempunyai tiga isteri dan 10 orang anak yang perlu ditanggung dengan pendapatan bulanan kira-kira RM4,000 sebagai peniaga kecil.
Selain itu, Zulfikiri turut berhujah tertuduh tidak mungkin cuba melarikan diri dan bekerjasama dengan pihak polis sepanjang proses siasatan dan menafikan Mohamad Riza sebagai anggota GISBH.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran minggu pertama setiap bulan serta tidak menggangu mangsa.
Selain itu, pasport antarabangsa milik tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah yang turut menetapkan 18 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.