Ajal pulang dari kerja, lelaki maut dihempap pokok tumbang
ALOR GAJAH – Seorang lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja maut selepas motosikal yang ditunggang dihempap pokok tumbang di Jalan Perindustrian Kelemak, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan, 18, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke rumahnya di Taman Lendu Bakti Masjid Tanah.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah pokok telah menghempap tangki minyak motosikal mangsa menyebabkannya tercampak ke atas jalan dengan kedudukannya dengan kenderaannya ditemui sejauh 30 meter.
“Akibatnya insiden itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya memetik laporan Kosmo Online.
Tambahnya, difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis syif bekerja.
Ashari berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.