Berita SemasaPolitik

Bayaran balik mandatori jika penerbangan ditunda lebih 5 jam

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tidak lama lagi diwajibkan untuk membuat bayaran balik penuh kepada penumpang sekiranya penerbangan yang ditunda selama lima jam atau lebih, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, ini adalah sebahagian daripada pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang bertujuan memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna dan akan digazetkan bulan depan.

Dalam satu sidang media, Loke berkata, penumpang boleh memilih untuk mendapatkan bayaran balik penuh harga tiket jika mereka ingin membatalkan perjalanan, lapor FMT hari ini.

Beliau berkata, syarikat penerbangan mesti menawarkan bayaran balik kepada penumpang terjejas melalui kaedah pembayaran asal, walaupun boleh menawarkan alternatif seperti kredit atau baucar penerbangan.

Katanya, pengguna akan mempunyai hak untuk memilih kaedah pembayaran yang mereka inginkan.

Loke berkata, bayaran balik mandatori turut meliputi surcaj bahan api, cukai, fi, dan caj seperti levi pelepasan, caj perkhidmatan penumpang, fi karbon, dan lain-lain.

Tegasnya, semua penerbangan dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, bertujuan melindungi pengguna tidak membeli penerbangan tersebut.

“Sebarang perubahan dalam waktu perlepasan yang dijadualkan mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan disebabkan hal luar biasa atau masalah teknikal tidak dapat dielak.

Peruntukan ini akan berkuat kuasa pada Januari 2025, katanya.

Beliau berkata, sebarang ‘denied boarding’ kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas.

Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang, katanya.

Selain itu, MACPC juga membenarkan aduan dikemuka dilanjut daripada setahun kepada dua tahun.

Loke berkata, kegagalan mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum RM200,000, dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah sepuluh 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button