Politik

Isu pelupusan hutang peneroka FELDA: Di mana suara UMNO?

BANGI – Kerajaan perlu memperjelaskan semula isu pembatalan pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion kerana wujud percanggahan dalam pengumuman oleh kerajaan baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, keputusan yang dikeluarkan melalui jawapan bertulis oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said juga didapati tidak selari dengan pengumunan Pengerusi Felda dan juga Presiden Majlis Belia Felda.

Awang berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh sebelum ini memaklumkan bahawa pelupusan sebahagian hutang peneroka telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021 dan tidak pernah dibatalkan.

Katanya, perkara yang sama juga disahkan oleh Presiden Majlis Belia FELDA, Muhammad Fadzli Hassan dalam laporan Berita Harian 26 Februari lalu.

“Lalu apa sebenarnya yang dimaksudkan Datuk Seri Azalina?,” soal Ahli Parlimen Pendang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini kerajaan Perikatan Nasional bersetuju melupuskan sebahagian daripada pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui pelarasan pinjaman secara bersyarat.

Awang berkata, keputusan itu memberi manfaat kepada peneroka apabila hanya perlu menjelaskan hutang pada kadar lebih rendah daripada sepatutnya.

“Tak cukup dengan itu, PN pernah terbitkan sukuk RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi tujuan pelan pemulihan FELDA,” katanya.

Justeru beliau mencabar pemimpin tertinggi UMNO supaya bangkit memperjuangkan nasib warga FELDA yang pernah menjadi deposit undi terbesar mereka.

“Adakah UMNO kini tersepit dan dikepit suara mereka oleh puak yang sangat giur melemahkan kubu kuat dan ekonomi orang Melayu?

“Jika nasib peneroka FELDA makin lemah di tangan kerajaan hari ini, siapa lagi yang mereka boleh harapkan selepas UMNO mengkhianati kepercayaan mereka? DAP?,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button