Remaja Sri Lanka cuba mohon pasport Malaysia ditahan
Gunakan dokumen pengenalan diri kanak-kanak berusia 10 tahun
GEORGETOWN – Seorang remaja lelaki warga Sri Lanka ditahan ketika cuba memohon pasport antarabangsa Malaysia di Pejabat Imigresen UTC Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), semalam.
Pengarah Imigresen negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata, dalam kejadian semalam, remaja itu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen pengenalan diri sebagai kanak-kanak berusia 10 tahun sambil ditemani seorang wanita tempatan yang mendakwa sebagai ibunya.
Bagaimanapun, kata Nur Zulfa, penyelia bertugas menyedari keadaan fizikal individu itu tidak sepadan kanak-kanak berusia 10 tahun, malah dia tidak memahami sebarang soalan diajukan dan pertuturan digunakan juga bukan dalam dialek Tamil biasa diucapkan masyarakat India di Malaysia.
“Hasil soal siasat, wanita yang menemani lelaki itu mengaku bukanlah ibu kepada pemohon pasport itu, sebaliknya menerima sejumlah wang sebagai ganjaran untuk urusan itu.
“Suspek juga mengaku statusnya sebagai warganegara Sri Lanka, sebelum kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Pasport 1966 untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya lagi.