
Gurauan bom pada bungkusan, lelaki tempatan ditahan
KUALA LUMPUR – Tindakan menulis amaran bahawa bungkusan yang dikirim melalui Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengandungi bom mengundang padah kepada seorang pekerja setor apabila suspek ditahan polis.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Sha’riat berkata, siasatan mendapati suspek yang tinggal di Seri Kembangan mengaku menulis nota bagi tujuan gurauan kepada rakan sekerjanya.
Bagaimanapun katanya, suspek mengaku bahawa bungkusan berkenaan telah diambil oleh ejen penghantaran sebelum sempat untuk memadamkannya semula.
“Suspek seorang lelaki berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjaga setor beralamat dari Seri Kembangan telah ditahan selepas diminta hadir ke IPD KLIA untuk dirakam keterangan oleh polis membantu siasatan kes ini.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 11.42 pagi di Kargo GTR KLIA,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.
Jika disabitkan kesalahannya boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Katanya, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan sepenuhnya dan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.
“Hasilnya kami menerima arahan untuk mendakwa suspek di Mahkamah Majistret Sepang pagi ini (Isnin),” tegasnya.
Dalam kejadian Khamis lalu, pasukan Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 PDRM dikejarkan ke Pusat Kargo KLIA selepas menerima laporan berhubung bungkusan mencurigakan.
Berdasarkan mesin pengimbas, bungkusan itu dipercayai mengandungi bateri dan beberapa wayar.
Selain itu, terdapat tulisan “Awas Jangan Campak Nanti Meletup Ini Bom” pada bungkusan.
Sejurus pemeriksaan rapi dilakukan, bungkusan itu didapati mengandungi komputer riba dan kabel pengecas.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |