Politik

PAU 2024: PH terima keputusan UMNO tidak jemput pimpinan Kerajaan Perpaduan

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) menerima dan menghormati keputusan UMNO yang tidak menjemput pemimpin utama Kerajaan Perpaduan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang bermula minggu depan.

Menurut Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, tiada sebarang isu berbangkit berkaitan perkara berkenaan.

“Tiada masalah sebab kita (parti komponen Kerajaan Perpaduan) bertemu setiap hari.

“Jadi tiada sebarang isu dan kita hormat sebarang keputusan yang dibuat (UMNO),” kata Fahmi kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2024, di sini hari ini.

Laporan media semalam menyebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai berkata, PAU 2024 yang bermula minggu depan, tidak akan membabitkan kehadiran pemimpin utama Kerajaan Perpaduan, selain hanya pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional (BN).

Asyraf Wajdi berkata, UMNO mengambil pendekatan berbeza berbanding pada perhimpunan tahun lalu, dengan mengutamakan keluarga besar UMNO.

Jeasnya lagi, keputusan untuk tidak menjemput pimpinan parti politik khususnya PH serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah dipersetujui di peringkat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Show More

Related Articles

Back to top button